Melepasi Fasa I Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX), Universiti Sains Malaysia (USM) terus mendepani cabaran muncul sebagai Universiti Memimpin Kelestarian menerusi perancangan awal APEX Fasa II yang akan bermula pada 2014 hingga 2025. Ikuti inti pati APEX Fasa II dalam perutusan Tahun Baru Naib Canselornya, Prof Datuk Omar Osman, baru-baru ini.
S: Bolehkah Prof berikan pengenalan ringkas mengenai perancangan awal APEX Fasa II?
J: USM berjaya melancarkan satu Consultative Document bertajuk The APEX University - Second Phase 2014- 2025, USM, satu dokumen cadangan yang dihasratkan membawa USM 12 tahun ke hadapan. Dokumen ini diserahkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebagai dokumen perbincangan bersama pelbagai pemegang taruh luar dan dalam universiti sepanjang 2013. Selain itu, beberapa dokumen APEX sokongan turut dilancar iaitu the State of the Art Book: 2008-2012 dan juga USM in Numbers 2012 yang memaparkan kisah perjalanan USM sepanjang pelaksanaan APEXsehingga 2012 dan pencapaian USM dalam Indeks Pengukuran Prestasi (KPI) 2012.
APEX Fasa ll bertujuan usaha untuk mewujudkan bakat yang mempunyai minda warga global kelas pertama yang berlandaskan dengan nilai terbaik, manakala pemboleh ataupun enabler utama yang akan menjadi teras APEX Fasa ll, diterajui aspek Governan Insani, Kelestarian Kewangan, Penyelidikan dan Inovasi, Warga Global, Akademik, Perkhidmatan serta Agenda Memposisikan Institusi. Semua ini digambarkan dalam ekosfera Rangka Kerja APEX Fasa ll yang tidak lagi digambarkan sebagai sebuah piramid kerana mencapai sesuatu yang lebih holistik adalah jauh lebih penting berbanding dengan kedudukan tertinggi, teratas dan bersendirian.
Ekosfera lebih menyeluruh bentuknya dan bagi merealisasikan visi dan misi APEX ialah menerusi perubahan menyeluruh keseluruhan institusi, serta membentuk hubung kait elemen sebuah universiti dengan elemen persekitarannya yang merangkumi manusia, infrastruktur, sistem dan entiti dalamannya. Ekosfera APEX ini melampaui tugas dan fungsi asas sebuah universiti yakni untuk membentuk karektor manusia dan seterusnya mentransformasikan mereka ke arah menjadi rakyat ataupun masyarakat dunia yang beretika. Justeru, ekosfera ini bukan hanya untuk USM dan bukan hanya berkenaanUSM. Ekosfera APEX meliputi dimensi global yakni berusaha untuk merubah lanskap pendidikan tinggi menjadi sebuah institusi yang relevan dalam abad ke-21 ini. Untuk itu, premis utama dalam apa jua yang kita tuju dalam APEX Fasa ll, kita akan meneroka ke arah sesuatu yang terbilang (prominence), unggul (eminence), relevan (relevance) serta dominan (dominance) dalam perkara-perkara yang kita rancangkan. Selain itu, USM meneruskan dengan teras-teras yang digarap pada permulaan APEX.
USM sebagai sebuah universiti APEX meneruskan tujuh Teras iaitu masa hadapan, keunikan, kelestarian, kemanusiaan, kesejagatan, perubahan dan juga pengorbanan. Dalam APEX Fasa ll ini, USM perlu kembali kepada asas (fundamental) dan asal usul ataupun roh kita sebagai sebuah universiti. Kita harus kembali meneliti apakah sebenarnya sebuah `universiti' dan mengapakah diwujudkan. Universiti berasal kepada perkataan Latin `universes', yang membawa maksud `menyeluruh', manakala education pula berasal daripada perkataan latin yang bermaksud `e-ducere' ataupun melakukan sesuatu, yakni merujuk kepada usaha untuk merungkai potensi keseluruhan seseorang untuk hidup bersama dengan persekitarannya. Sehubungan dengan itu, USM harus mengambil kira sifat hakiki manusia, serta nilai yang membentuk asas kehidupan.
S: Apakah inti pati utama APEX Fasa II?
J: Tiga inisiatif utama dikenal pasti dalam usaha memperkukuh peranan dan kecemerlangan USM dalam kerangka hala tuju APEX Fasa II 2014-2025. Inisiatif bersifat jangka pendek itu akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat merangkumi penawaran tempat kepada pelajar terkebawah melalui saluran khas yang sedang dalam proses kelulusan Senat. Dua lagi inisiatif termasuk meluaskan penawaran program pada peringkat profesional dan pascasiswazah di pusat pembelajaran setempat di Kuala Lumpur serta menjayakan teras untuk memastikan sistem dalaman universiti dapat dijalankan secara berkesan dan kos efisien.
Untuk program saluran khas, universiti berharap dapat mewujudkan satu wadah untuk membina bakat dalam kalangan pelajar terkebawah, termasuk golongan asal (peribumi), penduduk di pedalaman Sabah dan Sarawak serta golongan kelainan. Golongan siswazah yang mempunyai potensi untuk ditawarkan di pusat pembelajaran setempat di Kuala Lumpur. Pusat Setempat itu yang juga telah beroperasi dua tahun dengan penawaran program Sarjana Komunikasi Integratif akan dikembangkan khususnya dalam program yang diperlukan pada peringkat kerja kursus tahap profesional.
S: Bagaimanakah dengan pencapaian USM dalam APEX Fasa I?
J: Sebagai sebuah universiti penyelidikan, APEX Fasa I menyaksikan peningkatan bilangan geran yang diberikan kepada penyelidik, begitu juga dengan bilangan staf akademik yang menjadi Principle Investigator. Usaha turut dipergiatkan bagi memastikan keseimbangan umur dan pengalaman antara penyelidik. Kita juga berjaya mencapai kira-kira 40 peratus daripada sasaran 200 pengiktirafan antarabangsa terhadap pencapaian penyelidikan universiti selain kejayaan meneroka penyelidikan dalam bidang yang sebelum ini dianggap terpinggir atau pun tidak diberi perhatian dalam agenda kebangsaan dan diklasifikasikan sebagai the unaddressed issues, antaranya Diasphora dan Warisan Melayu, Pensejarahan Melayu Serantau, Kearifan Tempatan dan Pengurusan Haji.
Kita bersyukur apabila dua isu diperjuangkan iaitu Kearifan Tempatan dan Pengurusan Haji mendapat perhatian pihak kerajaan sehingga membawa kepada kejayaa n memperoleh geran Long Term Research Grant Scheme (LRGS) yang agak besar. Usaha USM menghubungkan universiti dengan masyarakat khususnya kalangan negara membangun turut diperhebat. Pihak universiti contohnya menjadi pemangkin kepada penubuhan APUCEN yang dianggotai 43 universiti dari 10 negara. Menerusi industri pula, kita berjaya menubuhkan Industrial Community Advisory Panel (ICAP). Sebagai keseluruhan, APEX Fasa I membuktikan kejayaan mengenal pasti kekuatan, kelemahan serta kekurangan selain jurang yang perlu dirapatkan ke arah memperkukuh lagi landasan bagi melakukan lonjakan yang tinggi di APEX Fasa ll.
S: Apakah teras strategik yang digariskan USM pada 2013?
J: 2013 menetapkan empat teras strategik utama iaitu mensinergikan antara impian, realiti, kekangan, cabaran, keserakanan, kebersamaan dan mengurangkan perselisihan, jurang, ketaksuban dan keegoan. Empat teras strategik ini ialah Pengupayaan Perancangan APEX Fasa 2, Meneruskan Pusingan Asas Transformasi, Memulakan Inisiatif Baru APEXFasa II dan Meneruskan Inisiatif Berupaya Dalam APEX Fasa 1. Semua ini penting disinergikan agar kita mampu meneruskan agenda APEX. Semua agenda yang diletakkan dalam APEX Fasa 1, Fasa 2 dan sudah tentu sasaran 2013 ini menuju ke arah usaha merealisasikan USM sebagai Universiti Memimpin Kelestarian. Justeru itu, semua Pusat Tanggungjawab (PTJ) perlu ada pelan kelestarian sendiri yang selari dan sehala dengan hasrat universiti.
Bagi 2013, PTJ akan dikehendaki menyediakan pelan perancangan mereka mengikut kaedah berikut dengan perancangan strategik jangka pendek dua tahun, jangka pertengahan lima tahun dan pemetaan sehingga 2025 berasaskan kepada Consultative Document APEX Fasa II. Pemberitahuan berperingkat akan dilakukan Pejabat Transformasi dan Bahagian Pembangunan Institusi dan Komunikasi Strategik. Semua PTJ juga diminta untuk menyediakan jadual teras pengurusan berasaskan kepada empat teras Strategi, Taktikal, Operasi dan Tugas. Pelan Tindakan Pemboleh yang akan disediakan nanti terdiri daripada Akademik melewati 2013, penyelidikan warga global, kelestarian kewangan, perkhidmatan dan juga agenda memposisikan institusi (Institutional Positioning Agenda).
No comments:
Post a Comment